Sabtu, 23 Mac 2013

"Hak Saya": Teguran Ikhlas Dari Dr. Harlina

"Seksi itu hak saya, jangan jaga tepi kain saya"

Komen nie datang sendiri dari seorang artis popular tanah air. Tapi admin di sini bukan nak menuding jari atau mengutuk, cuma ingin berkongsi sedikit nasihat yang sangat berguna buat pembaca dan paling penting artis diluar sana. Mungkin kenyataan "ini hak saya" dah menjadi kebiasaan ramai orang dalam menangkis teguran yang dibuat terhadapnya. 

Apapun jom kita baca nasihat baik dari Dr. Harlina - Profesor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Naib Presiden Jamaah Islah Malaysia, Jawantankuasa dalam IKRAM Malaysia dan Pakar Perunding di Bahagian Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

Antara komen Dr. Har adalah...

FROM DR. HAR WITH LOVE
TEGURAN IKHLAS BUAT YANG BERKENAAN

Salam ukhuwah,

Atas dasar tanggungjawab dan amanah, Dr Har memberanikan diri mengajukan pandangan terhadap fenomena semasa yang amat membimbangkan – di mana semakin ramai ahli masyarakat yang tidak lagi peduli dan kisah dengan teguran orang lain di sekeliling. Apa yang lebih menyedihkan – apabila alasan yg diberikan berlandaskan hujah hak asasi peribadi, yang dianggap mutlak milik individu. Orang lain dianggap tidak berhak campurtangan dan mempersoalkan keputusan, tindakan dan tingkah laku seseorang itu.

Terbaru, hari ini (21 Mac 2013) terdapat laporan akhbar harian mengenai komen seorang yang dikenali ramai mengenai `hak peribadi’nya utk berpakaian seksi. Beliau juga memberi amaran agar orang ramai jangan terlalu menjaga `tepi kainnya’. Sedih dan sayu rasa hati membaca komen tersebut. Masakan boleh Dr Har buat tak kisah dan membiarkan golongan ini begitu sahaja. Kalau ada yang mahu mengatakan :

`Who cares?’, Dr Har jawab

`I do care! A lot!‘

Dalam konteks ini, perlu sangat diperjelaskan bila nak bercakap pasal hak, ada beberapa noktah yang mesti diperhatikan :

Jangan lupa, jauh mendahului hak individu adalah hak Allah SWT yang Maha Agung, Perkasa dan Sempurna. Hak Allah SWT adalah untuk disembah, dipatuhi dan diagungkan. Segala suruhan-Nya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, maka pujuklah diri dan relakanlah jiwa untuk patuh, taat dan setia. Larangan yang membawa kemurkaan-Nya adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan manusia itu sendiri, maka jauhilah sejauh-jauhnya. Membelakangkan hak Allah, tidak mempedulikan suruhan-Nya – adalah satu manifestasi kesombongan yang luar biasa!

Janganlah pula terlupa, tubuh badan kita sebenarnya bukan hak milik kita, yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Ianya hanya pinjaman sementara, dari Empunya yang tidak pernah terleka. Keindahan tubuh badan ini boleh hilang sekelip mata, semua terpulang kepada yang Empunya. 

Bukankah kita mengimani adanya Hari Pembalasan di Padang Mahsyar? Khabarnya, itulah saat segala anggota tubuh badan kita akan mengadu perihal penyalahgunaan dan pengkhianatan kita. Mulut yg begitu lantang bersuara semasa di dunia, terkunci rapat semasa ditimbangtara. Tentu sekali kita takkan boleh berkata kepada Tuhan yang Empunya segalanya, `Jangan jaga tepi kainku! ‘

Jangan lupa, selain hak adanya pula tanggungjawab dan rasa hormat. Tiga aspek ini : Responsibilities, Rights & Respect – 3R, tak boleh dipisahkan. Hak hanya boleh diberikan kpd mereka yg sudah menjalankan tgjwb & peranan mereka dengan baik dan sempurna. Peruntukan hak mestilah pula dihormati. Jangan asyik berhujah dengan hak kita yang itu dan yang ini. Tanyakan pada diri, sudahkah tanggungjawab dan peranan asasi kita sebagai hamba Allah dan khalifah terlaksana? Kalau belum, hak apa sebenarnya yang ada pada dirimu?

Jangan lupa, kita manusia makhluk Allah yg perlu hidup secara berkelompok dan bersosial. Kita manusia lemah, amat saling bergantungan dan perlu-memerlukan. Selain hak individu, ada di sana hak kolektif (jamaĆ­) yang menjadi milik komuniti di sekelilingmu. Bila bertembung antara hak individu kita dengan hak kolektif massa – ketahuilah, hak kolektiflah yang harus didahulu dan diutamakan. Demi sebuah ketenangan hidup yang penuh rasa hormat-menghormati, ayuh kita belajar dari kelompok manusia dulu – mendahulukan hak kolektif dibandingkan hak individu.

Mungkin yang paling mendapat manfaat dari nukilan ini, bukanlah kelompok sasaran yang diajukan teguran.

Tak mengapalah, Dr Har yakin, ada kelompok yang pasti mendapat sedikit peringatan dan tazkirah.

Fazakkir, innafa’atiz zikra : Dr Har akan terus memberi peringatan, sesungguhnya peringatan yang berulang-ulang itu banyak manfaatnya!

Salam ukhuwah :
Dr.Harlina Halizah Siraj (Dr. Har)

Source: infogempaq

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...