Sabtu, 23 Mac 2013

Memberi Dan Menerima Dalam Alam Perkahwinan


Pemikiran dan sikap yang betul sangat berharga dalam melayari bahtera rumahtangga. Kedua-duanya amatlah penting terutama sekali apabila menghadapi suasana rumahtangga yang tidak menentu.

Untuk membina dan mengekalkan kesuburan cinta, kita perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan mulai pudar dan kebahagiaan akan berkecai. Untuk mengekalkan percintaan dalam rumahtangga, kedua-dua pasangan hendaklah saling menerima dan memberi.

Jangan hanya menuntut hak, fokus jugak pada tanggungjawab diri

Salah satu yang menjadi masalah bagi pasangan berkahwin ialah perjuangannya untuk mendapatkan haknya semata-mata tanpa menghiraukan hak pasangannya. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “Aku sepatutnya tidak dilayan begini.” dan banyak lagi.  Ye betul, kadang-kadang dalam beberapa situasi, kita tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Tapi perlu disini ada perkara lain yang perlu dipertimbangkan. Mungkin ada masalah yang timbul yang menyebabkan kita tak dapat layanan atau benda yang kita harapkan.

Fokus pada tanggungjawab diri – sebagai suami atau isteri, kita dituntut oleh syariat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Menuntut hak tidak salah, Islam menggariskan hak-hak suami yang wajib dipenuhi isteri, dan hak-hak isteri yang wajib dipenuhi suami. Namun, menunaikan hak pasangan itu lebih utama. Inilah prinsip asas, inilah golden rule yang harus difahami dan digenggam oleh setiap daripada kita yang bakal atau sedang melayari alam perkahwinan.

Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan. Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Padahal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan.

Sabda Rasulullah s.a.w. :
مَنْ لا يَرْحَمْ لاَ يُرْحَمْ 
Siapa yang tidak memberi rahmah (kasih sayang), dia tidak dirahmati (dikasihi disayangi).
(Muttafaqun ‘alaih)

تَهَادُوا تَحَابُّوا
Berilah hadiah sesama kamu, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai. 
(Riwayat Al Baihaqi)

Mereka yang berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sering mendapat haknya sebagai ganjaran. Mereka yang memberi kasih sayang, akan mendapat kasih sayang sebagai ganjaran. Kasih sayang daripada siapa? Kasih sayang daripada Allah s.w.t Maha Pencipta, kasih sayang daripada sesiapa yang dikehendakiNya, juga daripada makhlukNya di muka bumi, antaranya ialah pasangan hidup dan manusia.

Selalunya, manusia sering merasakan bahawa dengan menerima kebaikan, hati akan gembira dan bahagia. Benar, tetapi ada satu lagi perkara yang akan membuatkan hati gembira dan bahagia, iaitu memberi kebaikan. Mungkin ramai yang tidak percaya, namun seringkali perkara inilah yang tidak dilakukan, yang menyebabkan hati manusia tidak bahagia. Ya, tidak memberi kebaikan, maka hati tidak bahagia.

Berilah kebaikan, buatkan pasangan gembira dan bahagia, nescaya kita juga akan gembira, bahagia dan terima kebaikan.

Berkahwin bukan sekadar untuk menerima daripada pasangan, tetapi juga untuk memberi. Tidak sempurna erti perkahwinan dengan hanya menerima. Menjadi baik dan memberi kebaikan, adalah sebahagian daripada erti perkahwinan.

Jalan menuju gerbang perkahwinan bukan sekadar usaha mencari yang baik, tetapi juga usaha agar diri menjadi baik, agar dapat memberi di alam perkahwinan.

Banyakkan usaha menjadi baik, dan lebih baik, warnai kehidupan seharian dengan nilai-nilai Iman dan Islam. Kemudian berusaha mencari yang baik, insyaAllah, yang terbaik akan Allah s.w.t aturkan buat kalian.

Antara pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah:
“Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredhaannya daripada keredhaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Kita juga perlu jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan kebaikan. Definisi baik buruk, menurut neraca apakah yang kita pegang? Bukan neraca nafsu, bukan neraca akal manusia semata-mata. Definisi baik buruk yang kita pegang adalah apa yang ditetapkan Allah s.w.t., dalam kata lain, neraca syara’, neraca Islam. Perkara baik, adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai baik. Perkara buruk, adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai buruk.

Menjadi Baik dan Memberi Kebaikan Di Pentas Kehidupan

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.
(An-Nahl: 30)

Marilah sama-sama kita berusaha menjadi baik, meningkatkan amal kebaikan, memberi kebaikan kepada manusia. Jalan ke arah kebaikan itu banyak, medan amal kebaikan itu luas. Berusaha agar semakin banyak kebaikan dapat dilakukan dan diberi, nescaya semakin banyak kebaikan yang akan kita terima, di dunia, bahkan lebih lagi di akhirat. Inilah janji Allah Yang Maha Pemberi, Maha Pembuka Rahmat. Wallahualam...

Source: Islamituindah

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...