Jumaat, 22 Mac 2013

Garis Panduan Dalam Menuntut Ilmu




Selalu kita dengar tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana dengan ilmulah manusia dipandang tinggi. Malah, dalam Islam, ia menjadi kewajipan buat semua orang untuk menuntut ilmu. Sabda Rasullullah S.A.W. ;

"Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap muslim."
(Hadis rimayat Ibnu Majah dan lain-lainnya)

Tapi kadang-kadang kita lupa yang ilmu itu datang dari Allah. Walau sebanyak mana kita belajar tentang sesuatu, jika tiada keberkatan dari Allah, ilmu itu akan sia-sia. Sebab itu, adab-adab dalam menuntut ilmu perlu dititikberatkan. 

Imam Al-Ghazali R.A. telah menggariskan 10 adab-adab dalam menuntut ilmu yang boleh dijadikan asas pedoman kepada semua. 

1. Jauhi perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni kerana ilmu adalah cahaya dan ia amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan mempunyai jiwa bersih serta tenang.

2. Hindari dari terikat dengan hal ehwal keduniaan secara berlebihan, kerana ia membuka ruang untuk melalaikan fikiran daripada memfokuskan perhatian sepenuhnya terhadap ilmu pelajaran.

3. Tidak boleh bersikap sombong dan takbur terhadap guru atau golongan intelektual. Perlu bersifat rendah diri dan bersangka baik dalam menuntut ilmu.

4. Pelajar yang tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri daripada mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat dalam kalangan manusia sama ada melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Ia bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan pemikiran dan pemahaman terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajari. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam, ia tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

5. Seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sesuatu ilmu yang dipelajarinya perlulah dikuasai dengan baik sebelum mengambil keputusan untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain.

6.  Para pelajar hendaklah tidak memaksa dirinya untuk menguasai semua bidang ilmu secara sekaligus. Kuasailah ilmu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkam kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang.

7. Pelajar tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain.

8.  Seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif serta falsafah sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

9. Para pelajar perlu ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah

10. Setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara disamping menjadi  asas utama untuk mempelajari displin ilmu yang lain.

Semoga kita semua dapat mengamalkan adab-adab ini dalam menuntut ilmu setiap hari dan menggunakan ilmu yang kita peroleh untuk menegakkan agama Allah di dunia ini.

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...