Jumaat, 4 Januari 2013

Wanita Dan Daya Tarikannya

Allah S.W.T telah menciptakan wanita dan lelaki berbeza dari segi fizikal namun tujuannya adalah sama, iaitu untuk menjadi khalifah dan hambaNya yang bertaqwa di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama, sudah menjadi fitrah manusia untuk tertarik sesama sendiri, iaitu lelaki akan terpikat dengan wanita dan sebaliknya kerana ciri fizikal yang berbeza. Dan wanita sememangnya mempunyai daya tarikan yang istimewa untuk menarik minat lelaki supaya mendekatinya. Namun, wanita perlu bijak menggunakan daya tarikan yang ada agar ia tidak menyalahi apa yang Islam tetapkan.

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah

Antara ciri-ciri wanita yang akan membuat lelaki terpikat:

Wanita Hebat
Wanita hebat adalah mempunyai ciri-ciri berjiwa pahlawan, bijak, berilmu dan suka menolong orang dan bukan sebaliknya (suka menyusahkan orang). Begitulah gambaran wanita yang kuat, tidak bergantung pada belas kasihan sesiapapun, mampu menghadapi kesusahan dan cabaran hidup dengan tabah. Bahkan dialah penolong bagi sesiapa yang memerlukan pertolongan.

Sebagai teman hidup, tentunya dia dapat berdiri di sisi pasangannya dengan keberanian menghadapi segala ujian kehidupan. Tidak lemah dan manja, bukan seorang yang pemalas dan cepat putus asa. Bijak dalam menghadapai sebarang masalah dan kesulitan. Begitulah daya tarikan yang lebih tinggi nilainya dari sekadar cantik paras muka yang semakin lama semakin pudar dimakan usia. Tetapi kekuatan peribadi dan ilmu yang teguh takkan pudar dan hilang ditelan zaman.

Budi Bahasa Dari Jiwa
Kekuatan wanita ada pada bahasa tubuhnya iaitu tingkah laku, perbuatan zahir atau akhlak yang mulia. Setiap perkataan yang dilafazkan menjadi penilaian. Tutur katanya akan memperlihatkan bagaimana dirinya, adakah dia seorang yang sabar, jujur, berpendidikan? Atau adakah dia seorang yang suka berleter, kasar, kurang ilmu dan sebagainya?

Oleh itu, jagalah tutur kata. Ucap hanya yang baik kerana semua yang dibicarakan dari lidah bermuara di hati nurani masing-masing. Wajah ayu yang sedap dipandang, janganlah tukarkan ia menjadi pahit apabila terdengar bahasa yang menyakitkan telinga.

Mekap Yang Memikat
Jangan salah tafsir tentang mekap! Yang dimaksudkan di sini adalah air wudhu’ untuk pembersih dan penyegar wajah. Untuk pembayang mata dan melentikkannya, gunakanlah jenama ‘malu’ agar mata mampu menangkis setiap penahan syahwat. Manakala pemerah bibir yang sesuai adalah kata-kata penuh hikmah yang memikat setiap orang yang mendengar dengan penuh keinsafan. Inilah ciri yang menjadi idaman lelaki soleh :).

Busana Takwa
Para wanita di syurga dihiasi dengan pakaian daripada sutera hijau yang bertakhta permata-pertama berkilau. Kerana itulah keindahan wanita diabadikan di dalam Al-Quran dengan pakaian dan perhiasannya. Oleh itu, pemakaian wanita haruslah menutup aurat dan mengikut ketetapan Islam kerana ia bukan sahaja mampu melindungi anda dari bisikan-bisikan jahat, malah mampu membentuk akhlak dan peribadi yang tinggi. Bayangkan barang yang tertutup kemas dan terlindung pasti lebih tinggi nilainya daripada barang yang telah dibuka dipegang dan dilihat sesuka hati sesiapa jua. Pemakaian itulah yang akan menggambarkan keperibadian dan akhlak wanita tersebut.

Mudah Menerima Teguran Dan Bersikap Terbuka
Menjadi pasangan ideal bukannya mudah. Perlukan kesabaran untuk kekal disisinya. Bertanya secara terbuka kepada pasangan anda apa yang dia suka dan apa yang tidak disukainya. Berikan pertimbangan sewajarnya, buka perbincangan untuk kebaikan bersama. Jangan ego dan cepat berkecil hati. Jadilah sahabat dan kekasih yang memberi kebebasan bagi pasangan anda untuk menyatakan pendapatnya. Dalam pada masa yang sama, terimalah teguran dari dia secara baik kerana percayalah yang dia sebenarnya ingin yang terbaik buat anda.


Sungguh bertuahlah sesiapa yang mendapat pasangan seperti ciri-ciri di atas. Bagi anda yang mahu berubah, tidak ada kata terlambat untuk membaiki diri. Kerana biar bagaimanapun, lelaki tetap memerlukan wanita sebagai penyempurna kebahagiaannya. Tetapi wanita mesti lebih peka terhadap kekurangan-kekurangannya agar ia tetap menjadi pilihan satu-satunya di hati seorang lelaki bernama SUAMI.

Rasulullah SAW bersabda, “Wanita itu dikahwini kerana empat perkara, kerana hartanya, kecantikkannya, nasab keturunannya dan agamanya. Pilihlah wanita kerana agamanya nescaya engkau akan bahagia.”

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...