Isnin, 10 September 2012

Subhanallah, Wanita Bangkit Lawan Rejim Bashar!


APABILA kebangkitan Syria bermula, Fatima Zahra menghantar kelima-lima anaknya untuk menyertai pasukan pemberontak untuk menentang tentera kerajaan pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad. Bukan itu sahaja, dia berusaha mencari jalan untuk melakukan lebih daripada itu.

Selepas beberapa bulan, dia mengubah rumahnya menjadi pusat asas sokongan Tentera Bebas Syria. Dia memasak secara besar-besaran untuk mengagihkan makanan kepada pejuang pemberontak, menawarkan rawatan dan penjagaan perubatan asas.

Tidak ketinggalan Fatima menyediakan perlindungan kepada pemberontak tentera selain menyimpan senjata di bilik rumahnya.

"Sejak kanak-kanak lagi, saya mahu melihat pengakhiran rejim. Jadi apabila peluang itu datang, saya tahu saya akan mampu membantu," kata Fatima sementara suaminya, Ahmed Zahra sedang menyediakan kopi untuk anggota Tentera Bebas Syria yang berada di rumahnya.

Bapa Fatima di hantar ke Kuwait pada tahun 1980-an apabila rejim itu cuba memisahkan rangkaian anggota Ikhwanul Muslimin. Bapa Fatima bukan sebahagian daripada kumpulan itu, tetapi dia seorang lelaki yang tidak berpendidikan dan kuat agama.

"Kami hidup dalam ketakutan sebelum kebangkitan tercetus. Walaupun di sebalik pintu rumah yang tertutup, anda sama sekali tidak boleh memburukkan nama-nama seperti Bashar atau Hafez," kata Fatima merujuk kepada Presiden Syria dan bapanya Hafez al-Assad.

Perjuangan keluarga

Tetapi sekarang, Fatima memberitahu, dia tidak lagi takut.

Malah, dengan bangga memberitahu, keputusan beliau untuk membantu pemberontak walaupun jiran-jirannya melarikan diri kerana takut dengan keselamatan.

"Saya memasak dan merawat mereka yang cedera semampu yang boleh. Malah, saya menyediakan tempat tinggal kepada tentera Bashar yang lari daripada pasukannya untuk mendapatkan perlindungan di sini," katanya.

Dua daripada anak lelaki Fatima sedang berjuang di barisan hadapan di Aleppo, manakala dua yang lain membantu pelarian menyeberang ke Turki. Anak bongsunya yang berusia 16 tahun pula menghantar mesej dan senjata kepada pasukan pemberontak.

Ahmed, suami Fatima kelihatan bangga dengan isterinya yang sedang bersemangat menceritakan pengorbanan keluarga mereka.

"Apa yang dilakukan oleh isteri saya adalah sesuatu yang biasa. Kami sanggup memberikan penglihatan kami kepada pasukan pemberontak jika kami mampu," katanya tegas. "Saya berharap untuk melakukan lebih banyak daripada ini."

Antara mereka yang mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan oleh Fatima adalah dua orang tentera yang melarikan diri dan kini menggunakan rumah tersebut sebagai tempat perlindungan.

Abu Mohamed berpaling tadah daripada unit Damsyik dua bulan lalu, selepas dia ditempatkan berdekatan kawasan itu.

"Apa yang dilakukan Fatima, sungguh luar biasa. Dia membantu kami dengan baik sekali. Dia melayan kami lebih baik daripada keluarga sendiri," katanya.

Lelaki berusia 23 tahun itu semasa bersama tentera ditugaskan mengendalikan pusat pemeriksaan sehingga dia memutus untuk berpaling.

"Saya berpaling tadah apabila menyedari bahawa kami sebenarnya melindungi orang tertentu, bukan negara. Mereka meminta kami untuk menembak mana-mana kereta yang menghampiri pusat pemeriksaan, tidak kira wanita dan kanak-kanak di dalamnya atau tidak," ujar Abu Fahd.

Dia ditempatkan di kawasan itu dengan unit daripada Homs dan memutuskan untuk keluar selepas berjaya menyelinap dengan membuat panggilan telefon rahsia kepada keluarganya.

"Kami tidak mempunyai televisyen atau radio atau apa-apa komunikasi dalam pasukan tentera. Mereka memberitahu, kami melawan pengganas dan semua orang percaya mereka, termasuk saya," kata lelaki berkulit putih berusia 24 tahun itu.

"Selepas saya bercakap kepada ahli keluarga, saya baru sedar apa yang sebenarnya sedang berlaku. Saya telah menembak orang yang tidak bersalah dan memutuskan untuk meninggalkan pasukan tentera," kongsi Abu Fahd.

"Mereka adalah anak-anak saya," kata Fatima dengan bangganya. "Semua pemberontak dalam pasukan ini adalah anak-anak saya."

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...