Khamis, 28 Jun 2012

Maher Zain Berlakon Dalam Sinetron 'Insya Allah'


PERJALANAN dari Jakarta menuju Anyer, memakan masa empat jam. Ia juga bukan satu perjalanan mudah, kerana dua jam perjalanan terakhir menuju destinasi yang terkenal dengan keindahan pantai dan panorama kampung itu memerlukan kami meredah jalan yang separuh siap dan berlubang teruk.

Selain kami, terdapat 78 kru dan barisan pelakon sinetron Insya Allah dengan 21 buah kenderaan juga terpaksa melalui situasi yang sama. Namun nasib mereka lebih baik kerana pemandu yang membawa barisan karyawan tersebut memilih jalan alternatif yang lebih elok.

Kepayahan menuju Anyer akhirnya terbayar. Lelah 24 jam menanti pelakon yang pertama kali terjun dalam bidang lakonan itu berbaloi. Sementelah, figura tersebut bukan calang-calang orang.

Beliau ialah Maher Zain. Ya, Maher Zain, penyanyi kelahiran Lebanon yang merupakan rakyat Sweden itu kini bergelar pelakon buat pertama kali dalam hidupnya.

Ironi, Maher tidak menjadi pelakon antarabangsa, setaraf profilnya sebagai penyanyi. Beliau sebaliknya terlibat sebagai pelakon di Indonesia, bersama semua produksi Indonesia dan beliau menjadi satu-satunya orang asing dalam produksi tersebut.

Insya Allah, judul sinetron 40 episod yang berjaya memujuk Maher untuk menjadi pelakon. Sinetron itu bakal ditayangkan sempena bulan Ramadan pada bulan hadapan di tiga saluran serentak iaitu SCTV (Indonesia), Astro Oasis dan Mustika HD (Malaysia) selain boleh ditonton oleh pelanggan Astro di Brunei.

Fadly & Maher Zain Berjalan Berjalan Mengenali Kawasan Sekitar dan Bertemu Pelbagai Golongan dalam Sinetron Insya Allah

"Pada mulanya, saya kata, saya tak akan berlakon. Namun apabila pulang ke rumah dan berfikir bahawa sinetron tersebut mempunyai mesej yang baik seperti pesanan dalam lagu-lagu saya, saya bersetuju," ujar Maher saat ditemui di lokasi penggambaran terakhirnya, di Marbella Hotel, Resort & Spa, di Anyer baru-baru ini.

Maher saat ditanya bagaimana beliau mampu memberi kata setuju kepada sebuah produksi Indonesia dan begitu asing bagi dirinya, pantas memberitahu: "Indahnya Islam adalah apabila ia mampu mencantumkan semua umatnya walau berlainan bahasa."

Membawa watak diri sendiri, Maher tidak perlu membuat transformasi dirinya sebagai seorang pelakon. Katanya: "Memang saya perlu berlakon sedikit, tetapi dalam kebanyakan masa, saya menjadi diri sendiri.

"Malah melalui sinetron ini, saya dapat menyampaikan banyak hal yang positif dalam setiap episod yang ditonjolkan selama sejam. Saya suka bagaimana setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran tersendiri."

Tidak hanya muncul dalam beberapa babak, Maher sebaliknya memberi sepenuh komitmen apabila terbabit dengan 40 episod yang disiarkan. Ia juga sebagai satu keperluan kerana Insya Allah merupakan kisah perjalanan Maher dalam bertemu sahabatnya di Indonesia dan dalam kembara tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan.

Ditanya tentang kesukaran menjadi pelakon buat pertama kali, ujar Maher, secara dasar, walaupun ia agak sukar memandangkan beliau agak pemalu apabila berhadapan dengan kamera, namun semua perasaan itu terhapus apabila mereka memulakan penggambaran.

Ujarnya, selain begitu selesa dengan lawan lakonnya, iaitu Fadly Padi serta produksi, beliau amat menyenangi kembara sinetron tersebut yang banyak menjalani penggambaran di kawasan kampung.

Walaupun Berbeza Bahasa, Fadly dan Maher Zain Tetap Cuba Memahami

"Sebagai seorang yang hidup di kawasan bandar, saya begitu teruja kerana dapat berlakon di kawasan kampung sekali gus melihat realiti kehidupan yang serba sederhana," ujarnya lagi.

Maher juga memberitahu, beliau tidak banyak berhadapan dengan kesukaran sepanjang penggambaran dijalankan selain mengaku kadangkala berasa lelah kerana perlu menjalani puluhan babak dalam sehari kerana kesibukannya sendiri.

Disogok antara lakonan dengan nyanyian, mana yang lebih melekat dihatinya, pantas Maher memberitahu bidang nyanyian. Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika pada masa akan datang kembali terbabit dalam mana-mana naskhah yang mampu membawa pesan baik buat seluruh umat Islam di dunia.

Keluarga

Kesibukan yang tidak pernah berpenghujung bukan satu halangan buatnya menghabiskan kualiti masa bersama keluarga. Mengaku bahawa beliau mempunyai masa yang terlalu sedikit buat keluarga, justeru jika punya kesempatan, beliau akan membawa isteri dan anaknya bersama seperti ke Jakarta, Indonesia ini.

"Sejujurnya ia bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi Alhamdulillah, isteri sangat memahami karier saya, sementelah sewaktu kami bertemu, saya memang telah sibuk dengan karier saya.

"Jadi kesibukan saya sudah menjadi satu hal yang semulajadi buat kami. Ia sudah seperti budaya hidup kami. Namun seboleh-bolehnya, saya mahu mencuri masa untuk dihabiskan dengan mereka," katanya yang paling lama telah berjauhan dengan keluarga selama tiga minggu kerana kesibukannya.

Percubaan Fadly

Seperti pengalaman perdana Maher, ia juga merupakan pertama kali vokalis kumpulan Padi, Fadly terjun ke dalam bidang lakonan secara komersial selepas 16 tahun bergelar penyanyi.

Menyifatkan ia sebagai pengalaman luar biasa, Fadly memberitahu, dia bersetuju untuk terbabit dalam sinetron tersebut kerana pesanan positif yang akan ditebarkan buat umat Islam selain menyatakan kekaguman terhadap karier Maher Zain yang mampu menghidupkan lagu-lagu Islamik membuat beliau tidak menolak tawaran yang datang kepadanya.

Sinetron Insya Allah Ini Merangkumi Kisah yang Berlainan Untuk Setiap Episod


"Saya tidak pernah berlakon. Pengalaman membuat klip video tidak pernah sama dengan berlakon yang memerlukan banyak dialog dan saya sangat malu.

"Namun kerana inti sinetron yang sangat kuat, selain Maher sendiri berlakon, saya tidak mahu menolak peluang ini. Saya mahu turut serta dan menjadi sebahagian sejarah kembara seni Maher Zain," ujar vokalis berusia 36 tahun itu.

Membawa watak Fadly, teman Maher yang membantu beliau mencari sahabatnya, ujar pencipta lagu Upin & Ipin berjudul Sahabat Selamanya itu, kekangan yang dihadapinya apabila beliau perlu menghafal skrip, menjadi jurualih bahasa serta berbahasa Inggeris.

"Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus, sedangkan dialog Maher 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Tugas saya juga perlu menjadi jurualih bahasa buat beliau dan serentak menghafal dialog. Walaupun ia sukar, namun ini pengalaman yang mahal nilainya," katanya yang mengaku akan menolak tawaran berlakon jika perlu berlakon sendirian.

Sumber: Kosmo

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...