Rabu, 4 April 2012

Ustaz Tawar Kaedah GuGur Janin?


Harian Metro baru-baru ini

KUALA LUMPUR: Bagai membunuh kandungannya sendiri, namun masih memilih untuk menguruskan janin mengikut kaedah Islam. 
Itu pilihan rata-rata ibu muda terlanjur yang memilih pakej ditawarkan dalam perkhidmatan mengugurkan kandungan secara haram di beberapa klinik swasta di ibu kota pada harga RM1,800 hingga RM2,000 mengikut usia kandungan. 
Dengan berselindung di sebalik papan tanda hospital bersalin, beberapa klinik swasta di ibu kota kini dikesan ‘memancing’ pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan menggugurkan kandungan secara haram bersama khidmat uruskan janin mengikut kaedah Islam dengan mendakwa mengupah seorang ‘ustaz’ pada harga RM100 setiap janin. 
Hasil tinjauan dan penyamaran wartawan Harian Metro di beberapa klinik swasta mendapati klinik ini dilengkapi kemudahan wad dan didatangi pelanggan saban hari tanpa mengira waktu.

Subhanallah, itulah yang mampu En.Koala katakan selepas membaca berita ini. Ilmu dunia tinggi dilangit, tapi   rupanya serendah akar dibumi. Begitu juga dengan ilmu agama selebar lautan, namun hanya selopak air di tanah gusar. Apa nak jadi pada manusia zaman sekarang. Umat Islam lebih teruk daripada orang kafir? Sedangkan orang kafir pun tidak mahu berbuat sebegini. Binatang pun sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang ada akal. Bukankah sama buang bayi dengan gugurkan bayi? Ia tetap satu pembunuhan tanpa sebab yang munasabah.

Disini, En.Koala ingin kongsikan sedikit pendapat mengenai hukum penguguran dalam Islam yang diambil daripada mykhilafah


Dr. Abdurrahman Al Baghdadi (1998) dalam bukunya Persamaan hak, Adakah Dalam Islam ms.127-128 menyebutkan bahawa pengguguran kandungan biasanya dilakukan sebelum atau sesudah ruh (nyawa) ditiupkan.  Jika dilakukan setelah ditiupkannya ruh, iaitu setelah 4 (empat) bulan masa kehamilan atau 16 minggu, maka semua ulama ahli fiqih (fuqaha’) sepakat akan keharamannya.  Tetapi para ulama fiqih berbeza pendapat jika pengguguran kandungan dilakukan sebelum ditiupkannya ruh. Sebahagian membolehkannya dan sebahagian lain mengharamkannya.

Yang membolehkan pengguguran kandungan sebelum ditiupkan ruh, di antaranya adalah Muhammad Ramli (w. 1596 M) dalam kitabnya An Nihayah dengan alasan kerana belum wujud makhluk yang bernyawa.  Ada pula yang memandangnya makruh, dengan alasan kerana janin sedang mengalami pertumbuhan.

Yang mengharamkan pengguguran kandungan sebelum peniupan ruh antara lain Ibnu Hajar (w. 1567 M) dalam kitabnya At Tuhfah dan Al Ghazali dalam kitabnya Ihya` Ulumiddin. Bahkan Mahmud Syaltut, bekas Rektor Universiti Al Azhar Mesir berpendapat bahawa sejak bertemunya sperma dengan ovum maka pengguguran kandungan adalah haram, sebab sudahpun ada kehidupan pada kandungan yang sedang mengalami pertumbuhan dan persiapan untuk menjadi makhluk baru yang bernyawa yang bernama manusia yang harus dihormati dan dilindungi kewujudannya.  Semakin kejam dan besar dosanya, jika pengguguran kandungan dilakukan setelah janin bernyawa, dan akan lebih besar lagi dosanya kalau bayi yang baru lahir dari kandungan itu dibuang atau dibunuh. (Masjfuk Zuhdi, 1993, Masail Fiqhiyah Kapita Selekta Hukum Islam, ms. 81; M. Ali Hasan, 1995, Masail Fiqhiyah Al Haditsah Pada Masalah-Masalah Kontemporari Hukum Islam, ms.57; Cholil Uman, 1994, Agama Menjawab Tentang Berbagai Masalah Abad Moden, ms.91-93; Mahjuddin, 1990, Masailul Fiqhiyah Berbagai Kes Yang Dihadapi Hukum Islam Masa Kini, ms.77-79).

Pendapat yang disepakati fuqaha, iaitu bahawa haram hukumnya melakukan pengguguran kandungan setelah ditiupkannya ruh (usia kandungan empat bulan), didasarkan pada hakikat bahawa peniupan ruh berlaku setelah 4 (empat) bulan masa kehamilan.

Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesungguhnya setiap kamu terkumpul kejadiannya dalam perut ibumu selama 40 hari dalam bentuk ‘nuthfah’, kemudian dalam bentuk ‘alaqah’ selama itu pula, kemudian dalam bentuk ‘mudghah’ selama itu pula, kemudian ditiupkan ruh kepadanya.” [HR. Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ahmad, dan Tirmidzi].

Oleh itu, pengguguran kandungan setelah berusia 4 bulan adalah haram, kerana ini bermakna membunuh makhluk yang sudah bernyawa.  Maka ianya juga termasuk di dalam kategori pembunuhan yang diharamkan.

Antara dalilnya adalah seperti berikut.:

Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena kemiskinan.  Kami akan memberikan rezeki kepada mereka dan kepadamu.” [TMQ al-An’aam (6): 151].

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut miskin.  Kami akan memberikan rezeki kepada mereka dan kepadamu.” [TMQ al-Isra` (17): 31]

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan (alasan) yang benar (menurut syara’).” [TMQ al-Isra` (17): 33].

“Dan apabila bayi-bayi yang dikubur hidup-hidup itu ditanya karena dosa apakah ia dibunuh.” [TMQ at-Takwiir (81): 8-9].

Berdasarkan dalil-dalil ini maka pengguguran kandungan adalah haram pada kandungan yang bernyawa atau telah berusia 4 bulan dan lebih, sebab dalam keadaan demikian bererti pengguguran kandungan itu adalah suatu tindakan jenayah pembunuhan yang diharamkan Islam.

Adapun pengguguran kandungan sebelum usia kandungan 4 bulan, seperti dihuraikan di atas, para fuqaha berbeza pendapat dalam masalah ini.  Walau bagaimanapun dalam pandangan Syaikh Abdul Qadim Zallum (1998) dan Dr. Abdurrahman Al Baghdadi (1998), hukum syara’ yang lebih rajih (kuat) adalah sebagai berikut.

Jika pengguguran kandungan dilakukan setelah 40 (empat puluh) hari, atau 42 (empat puluh dua) hari dari usia kehamilan dan pada saat permulaan pembentukan janin, maka hukumnya haram. Dalam hal ini hukumnya sama dengan hukum keharaman pengguguran kandungan setelah peniupan ruh ke dalam janin.

Manakala pengguguran kandungan yang usianya belum mencapai 40 hari, maka hukumnya boleh (ja’iz) dan tidak apa-apa. [Abdul Qadim Zallum, 1998, Beberapa Masalah Kontemporari Dalam Pandangan Islam: Kloning, Pemindahan Organ, Pengguguran Kandungan, Bayi TabungUji, Penggunaan Organ Tubuh Buatan, Definisi Hidup dan Mati, ms.45-56; Dr. Abdurrahman Al Baghdadi, 1998, Persamaan hak, Adakah Dalam Islam, ms.129 ].

Dalil syar’i yang menunjukkan bahawa pengguguran kandungan haram bila usia janin 40 hari atau 40 malam adalah hadits Nabi SAW berikut:

“Jika nutfah (gumpalan darah) telah melalui empat puluh dua malam, maka Allah mengutus seorang malaikat padanya, lalu dia membentuk nutfah tersebut; dia membuat pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan tulang belulangnya.  Lalu malaikat itu bertanya (kepada Allah), ‘Ya Tuhanku, apakah dia (akan Engkau tetapkan) menjadi laki-laki atau perempuan?’ Maka Allah kemudian memberi keputusan…” [HR. Muslim dari Ibnu Mas’ud ra].

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

“(jika nutfah telah melebihi)empat puluh malam…”

Hadits di atas menunjukkan bahawa permulaan penciptaan janin dan penampakan anggota-anggota tubuhnya, adalah setelah melebihi 40 atau 42 malam. Dengan demikian, penderaan terhadapnya adalah suatu penderaan terhadap janin yang sudah mempunyai tanda-tanda sebagai manusia yang terpelihara darahnya (ma’shumud dam). Tindakan penderaan tersebut merupakan pembunuhan terhadapnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, maka pihak ibu si janin, bapanya, ataupun doktor, diharamkan menggugurkan kandungan ibu tersebut bila kandungannya telah berumur 40 hari.

Siapa saja dari mereka yang melakukan pengguguran kandungan, bererti telah berbuat dosa dan telah melakukan tindakan jenayah yang mewajibkan pembayaran diyat bagi janin yang gugur, iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan, atau sepersepuluh diyat manusia sempurna (10 ekor unta), sebagaimana telah diterangkan dalam hadits sahih dalam masalah tersebut.  Rasulullah SAW bersabda :

“Rasulullah SAW memberi keputusan dalam masalah janin dari seorang perempuan Bani Lihyan yang gugur dalam keadaan mati, dengan satu ghurrah, iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan…” [HR. Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah r.a.] [Abdul Qadim Zallum, 1998)].

Manakala pengguguran kandungan pada janin yang usianya belum mencapai 40 hari, maka hukumnya boleh (ja’iz) dan tidak apa-apa. Ini disebabkan bahawa apa yang ada dalam rahim belum menjadi janin karena dia masih berada dalam tahapan sebagai nutfah (gumpalan darah), belum sampai pada fasa penciptaan yang menunjukkan ciri-ciri minima sebagai manusia.

Di samping itu, pengguguran nutfah sebelum menjadi janin, dari segi hukum dapat disamakan dengan ‘azl (coitus interruptus) yang dimaksudkan untuk mencegah terjadinya kehamilan.  ‘Azl dilakukan oleh seorang laki-laki yang tidak menghendaki kehamilan perempuan yang digaulinya, sebab ‘azl merupakan tindakan mengeluarkan sperma di luar vagina perempuan.  Tindakan ini akan mengakibatkan kematian sel sperma, sebagaimana akan mengakibatkan matinya sel telur, sehingga akan mengakibatkan tiadanya pertemuan sel sperma dengan sel telur yang tentu tidak akan menimbulkan kehamilan.

Rasulullah SAW telah membolehkan ‘azl kepada seorang laki-laki yang bertanya kepada baginda mengenai tindakannya mempergauli hamba perempuannya, sedangkan dia tidak menginginkan hamba perempuannya itu hamil.  Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

“Lakukanlah ‘azl padanya jika kamu suka!” [HR. Ahmad, Muslim, dan Abu Dawud].

Walau bagaimanapun, seandainya terdapat kes yang disahkan oleh seseorang doktor yang pakar bahawasanya dengan meneruskan kehamilan mahupun kewujudan janin di dalam perut seseorang ibu itu dikhuatiri akan mengakibatkan kematian ibu dan sekaligus janin yang dikandungnya, maka dalam keadaan seperti ini, pengguguran kandungan sama ada pada tahap usia penciptaan janin, ataupun setelah berlaku peniupan ruh pada janin, adalah dibenarkan menurut syarak sebagai satu usaha untuk menyelamatkan nyawa ibu.  Menyelamatkan kehidupan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Islam, sesuai firman Allah SWT:
“Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” [TMQ al-Maa’idah (5): 32] .

Selain itu pengguguran kandungan dalam kondisi seperti ini dikira sebagai usaha rawatan kerana Rasulullah SAW telah memerintahkan umatnya untuk berubat.  Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla setiap kali menciptakan penyakit, Dia menciptakan pula ubatnya.  Maka berubatlah kalian!” [HR. Ahmad].

Kaedah fiqh dalam masalah ini menyebutkan:

“Idza ta’aradha mafsadatani ru’iya a’zhamuha dhararan birtikabi akhaffihima”

Bermaksud “Jika berkumpul dua mudharat (bahaya) dalam satu hukum, maka dipilih yang lebih ringan mudharatnya.” [Abdul Hamid Hakim, 1927, Mabadi` Awaliyah fi Ushul Al Fiqh wa Al Qawa’id Al Fiqhiyah, ms.35].

Berdasarkan kaedah ini, seorang wanita dibolehkan menggugurkan kandungannya jika kandungan itu akan mengancam hidupnya, meskipun ini bermakna dia mesti membunuh janinnya.  Memang menggugurkan kandungan adalah suatu mafsadat.  Begitu pula hilangnya nyawa sang ibu jika tetap mempertahankan kandungannya juga suatu mafsadat.  Namun adalah jelas bahawa menggugurkan janin didalam kandungan itu lebih ringan mudharatnya daripada menghilangkan nyawa ibunya, atau membiarkan kehidupan ibunya terancam dengan kewujudan janin tersebut. [Dr. Abdurrahman Al Baghdadi, 1998].

Pendapat yang menyatakan bahawa pengguguran kandungan diharamkan sejak pertemuan sel telur dengan sel sperma dengan alasan karena sudah ada kehidupan pada kandungan, adalah pendapat yang tidak rajih (kuat). Ini kerana kehidupan sebenarnya tidak hanya wujud setelah pertemuan sel telur dengan sel sperma, tetapi bahkan dalam sel sperma itu sendiri sudah ada kehidupan, begitu pula dalam sel telur,walaupun sejak kedua sel itu belum bertemu.  Kehidupan (al hayah) menurut Ghanim Abduh dalam kitabnya Naqdh Al Isytirakiyah Al Marksiyah (1963) ms.85 adalah “sesuatu yang ada pada organisma hidup.” (asy syai` al qa`im fi al ka`in al hayyi).  Ciri-ciri adanya kehidupan adalah adanya pembesaran, pergerakan, kepekaan, keperluan terhadap makanan, berkembangbiak, dan sebagainya.  Dengan pengertian kehidupan sebegini, maka dalam sel telur dan sel sperma (yang masih baik, belum rosak) sebenarnya sudah terdapat kehidupan, sebab jika dalam sel sperma dan sel telur tidak ada kehidupan, niscaya tidak akan dapat terjadi pembuahan sel telur oleh sel sperma.  Jadi, kehidupan (al hayah) sebenarnya terdapat dalam sel telur dan sel sperma sebelum terjadinya pembuahan, bukan hanya ada setelah persenyawaan.

Berdasarkan penjelasan ini, maka pendapat yang mengharamkan pengguguran kandungan setelah pertemuan sel telur dan sel sperma dengan alasan sudah adanya kehidupan, adalah pendapat yang lemah, sebab tidak didasarkan pada pemahaman fakta yang tepat akan pengertian kehidupan (al hayah).  Pendapat tersebut secara tak langsung menyatakan bahawa sebelum terjadinya pertemuan sel telur dan sel sperma, tidak ada kehidupan pada sel telur dan sel sperma. Padahal faktanya tidak demikian.  Andaikata pendapat itu diterima, niscaya segala sesuatu aktiviti yang menghilangkan kehidupan adalah haram, termasuk ‘azl. Ini kerana didalam amalan‘azl terdapat upaya untuk mencegah terjadinya kehidupan, iaitu maksudnya kehidupan pada sel sperma dan sel telur (sebelum bertemu).  Padahal ‘azl telah dibolehkan oleh Rasulullah SAW.  Dengan kata lain, pendapat yang menyatakan haramnya pengguguran kandungan setelah pertemuan sel telur dan sel sperma dengan alasan sudah adanya kehidupan, akan bercanggah dengan hadits-hadits yang membolehkan ‘azl.


"Walaupun itu adalah anak HARAM disisi Islam, tapi anak itu tidak berDOSA, PELIHARALAH anakmu itu dan BerTAUBATLAH, nescaya DIRIMU akan DiTERIMA ALLAH kelak"

- Pesanan En.Koala sendiri

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...