Selasa, 24 Januari 2012

Cinta Jarak Jauh Ally & Farah Terbukti

Farah & Ally selamat dihijabkabulkan
NALURI lelaki Ally Iskandar tiba-tiba diuji pada Jumaat lalu. Dengan bersaksikan puluhan sanak saudara dan kenalan rapat, dia memulakan langkah ke Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu dengan seribu impian.

Tepat pukul 10.03 pagi, wajah kegelisahan pengacara popular berusia 36 tahun itu berubah.

Dari riak wajah penuh debaran, Ally pantas menjadi ceria. Dengan itu, maka termaktublah sebuah lagi kisah baharu dalam kehidupannya.

Kini, Ally tidak lagi berseorangan. Impiannya untuk memiliki sebuah mahligai bersama insan tersayang telah disimpul rapi hanya dengan dua kali lafaz nikah.

Memilih gadis kelahiran Terengganu, Nurfarahin Romli, 22 atau lebih senang disapa Farah Lee, Ally mengakui ia adalah keputusan terbaik yang pernah dibuatnya selama ini.
Pasangan ini akan berbulan madu di Korea


“Syukur kepada Allah. Semua yang dirancang telah berakhir dengan selamat,” katanya ringkas kepada para pemberita baru-baru ini.

Pada majlis penuh sederhana itu, keluarga Farah Lee menyerahkan sembilan dulang hantaran termasuk satu set persalinan lelaki, telefon bimbit jenis I-Phone 4S dan tafsir al-Quran.

Keluarga Ally pula membalas dengan tujuh dulang hantaran termasuk komputer riba jenis Apple, replika kunci rumah dan satu set coklat.

“Pernikahan ini diharap dapat menjawab segala persoalan. Paling penting semuanya telah berjalan seperti yang dirancang. Doakan saya dan isteri dapat hidup berkekalan selamanya,” tambahnya.

Enggan terlalu bercerita soal peribadi, Ally sebaliknya menjelaskan apa yang dilakukan itu adalah atas tuntutan sebagai seorang suami.

Malah katanya, status isterinya sebagai seorang pelajar di sebuah universiti di Korea Selatan juga perlu diambil kira demi masa depan mereka.

“Banyak perkara yang mendorong saya untuk memilih Farah sebagai isteri. Dia adalah wanita yang tegas dan berpendirian. Dia juga insan yang sentiasa memberi dorongan kepada saya.

“Lagipun, pertemuan kami ini ada secara kebetulan. Semuanya bermula dengan adik saya yang memang mengenali Farah. Sejak itu, kami lebih banyak berhubung melalui laman sosial.

“Paling penting, dia sentiasa memahami kerjaya saya sebagai pengacara dan saya juga tahu tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar,” katanya.

Ally yang sinonim dengan rancangan Malaysia Hari ini (MHI) di TV3 turut menjelaskan jurang 13 tahun antara dia dengan isteri bukanlah masalah untuk mereka melayari hidup berumahtangga.

“Perkenalan kami mungkin masih singkat, tetapi saya sentiasa percaya kepada jodoh. Perkara-perkara lepas biarlah berlalu dan saya tidak mahu memikirkannya lagi.

“Biarlah kami tumpukan kepada kehidupan baharu ini. Lagipun, Farah masih belajar dan akan kembali mengikuti pengajiannya di Korea Selatan pada Mac depan.

“Insya-Allah, saya akan menghantarnya ke sana dan mungkin ia adalah bulan madu bagi kami,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Farah Lee yang berasal dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu mengakui memang telah mengenali Ally sejak kecil lagi apabila kerap melihat wajah suaminya terpampang di kaca televisyen.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan bertemu jodoh bersama seorang personaliti televisyen. Tapi inilah yang dinamakan jodoh.

“Saya sudah bersedia untuk hidup dengannya dan akan sentiasa memahami kerjayanya,” ujar penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Incheon, Korea Selatan itu.

Sumber: kosmo

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...