Khamis, 6 Oktober 2011

Gigitan Hangat : Aaron Tak Lupa Keluarga

Aaron Aziz & Keluarga
Dia dikenali sebagai lelaki yang romantis dalam drama bersiri Nora Elena yang pernah disiarkan di TV3 baru-baru ini, malah watak dan personalitinya dalam drama itu membuatkan ramai wanita yang jatuh hati kepadanya.

Pelakon kacak yang diberikan nama Aaron Mustapha Aziz,34, atau lebih sinonim dengan gelaran Aaron Aziz ini dilihat semakin mencipta nama sehingga menjadi tumpuan pengarah dan penerbit tempatan.

Walaupun begitu, dalam kesibukannya membina karier, Aaron tidak pernah menjadikan alasan itu untuk mengabaikan keluarga tersayang.

Bahkan suami kepada kepada Diyana Halik dan bapa kepada empat cahaya mata, Danish Anaqi,7, Dwi Ariana,5 dan Dahlia Arissa, 1 tahun 4 bulan ini merupakan ketua keluarga yang cukup mengambil berat.

Bercerita mengenai kehidupan rumah tangganya, Aaron akui dia beruntung kerana memiliki seorang isteri seperti Diyana.

“Dia adalah segala-galanya, dia bukan sahaja ditakdirkan menjadi suri hidup saya, malah dialah ibu kepada anak-anak, pengurus serta tempat saya mengadu.

“Bagi saya, saya adalah lelaki yang bertuah kerana mempunyai seorang isteri sepertinya,” kata pelakon yang merupakan anak kelahiran Pasir Ris, Singapura ini.


Tak mahu anak kurang kasih sayang

Dikelilingi anak-anak yang comel dan manja membuatkan kehidupan Aaron sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila pulang ke rumah setelah penat bekerja seharian.

Menyelongkar mengenai pembahagian masa antara kerjaya dan keluarga, Aaron menjelaskan dia sentiasa mencari masa dan ruang untuk bersama mereka.

Bapa yang cukup prihatin dan sangat memanjakan anaknya ini sanggup melakukan apa sahaja untuk anak-anak biarpun terpaksa mengosongkan jadual seninya.

“Bila berada di rumah saya pasti akan mengisi masa bersama mereka, saya juga akan melayan mereka melakukan pelbagai aktiviti termasuklah bermain ‘games’, melukis, dan membantu menyiapkan tugasan sekolah.

“Malah, saya tidak akan melibatkan diri dengan apa-apa tugasan sekiranya mereka mempunyai persembahan ataupun sebarang aktiviti yang memerlukan saya di sekolah.

“Saya tidak mahu anak-anak rasa kekurangan kasih sayang seorang ayah, alam persekolahan adalah sebahagian daripada proses pembesaran jadi saya tidak mahu mereka rasa saya tidak memberikan sokongan kepada mereka,” katanya yang mengakui tidak boleh berenggang lama dengan anak-anaknya.

Malah, sekiranya dia terpaksa berjauhan selama berminggu-minggu dengan anaknya, dia tidak sanggup menelefon mereka kerana bimbang hilang mood sewaktu bekerja kerana terlalu merindui anaknya.


Tidak halang anak ikut jejak


Sebagai selebriti, anak-anak Aaron juga turut terdedah kepada dunia seni, lebih-lebih lagi Diyana sentiasa membawa mereka ke lokasi penggambaran.

Secara tidak langsung Aaron turut berkongsi pengalaman agar anak-anak dapat memahami tentang kariernya.

Sebagai bapa dia tidak menghalang kemahuan anaknya sekiranya mereka bakal mengikut jejaknya suatu hari nanti.

“Saya sentiasa menyokong apa yang mereka mahu lakukan, tetapi sudah tentulah saya mahu melihat mereka berjaya bergelar seorang doktor ataupun di dalam bidang profesional yang lain.

“Bagaimanapun, terpulang kepada mereka dan apa yang penting mereka berjaya dalam kehidupan,” katanya yang sanggup berhabis tenaga, masa dan wang ringgit demi pendidikan anak-anaknya.

Aaron berkata, walaupun sudah lama bertapak dalam industri seni, populariti bukanlah keutamaannya.

“Saya sudah bergelar suami dan bapa kepada tiga anak, jadi kehadiran saya di sini untuk mencari rezeki buat keluarga, saya tidak sangka biarpun sudah berkahwin saya dapat diterima banyak pihak.

“Kejujuran dalam sesebuah hubungan sangat penting, sebab itulah apabila saya memilih bidang ini saya tidak pernah menyorokkan status saya, sama ada peminat mahu menerima atau tidak terpulang kepada mereka,” katanya yang turut popular dalam drama Stanza Cinta.

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...