Jumaat, 20 Mei 2011

Kupasan Filem Nurkasih The Movie

Nur Kasih The Movie ini adalah kesinambungan daripada drama siri TV popular Nur Kasih. Filem ini adalah selepas lapan tahun kisah didalam drama Nur Kasih berakhir.

Filem ini dibuka dengan satu kejadian kemalangan yang ngeri berlatarbelakangkan pemandangan padang pasir Jordan yang indah. Kemalangan ngeri yang disaksikan oleh dua orang arab Badwi itu adalah satu permulaan kisah yang menyentuh hati didalam filem Nur Kasih The Movie ini.
 
Filem ini kemudian membawa penonton ke Kuala Selangor dimana Nur Amina dan Adam sedang bernostalgia mengimbau kenangan lalu. Satu demi satu cerita terungkap dan dapat diketahui bahawa isteri Aidil, Aliyah telah meninggal dunia.
 
Anak Aidil, Ilyas dan Maryam mempunyai personaliti yang berbeza. Ilyas seperti ayahnya Aidil, lebih suka memendam perasaan dan meratapi pemergian ibunya dalam diam dan lebih mengambil berat tentang keadaan ayahnya. Manakala Maryam pula masih terlalu kecil untuk memahami situasi yang berlaku. Aidil melepaskan beban penderitaan batin yang ditanggungnya dalam satu peristiwa yang menyayat hati.
 
Adam dan Nur Amina kembali ke Kuala Lumpur dimana mereka menghabiskan masa menjadi sukarelawan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak bermasalah. Tujuannya kerana untuk menghilangkan perasaan rindu terhadap anak-anak kerana telah lama mereka belum lagi dikurniakan cahaya mata. Di pusat jagaan ini, watak Mamat, Sara, dan Jamal akan mewarnai kisah mereka.
 
Apabila mengetahui Nur Amina mengandung, Adam bersyukur kepada Allah, namun takdir menentukan, bayi didalam kandungan Nur Amina keguguran. Kejadian ini membuatkan Adam hilang pertimbangan dan mula berpaling daripada ajaran Allah. Walaubagaimanapun, Aidil berjaya memimpin Adam kembali ke jalan yang benar.
 
Adam dan Nur Amina bercadang melawat Mekah dan kemudian menyusul ke Jordan pula. Di Jordan, pasangan ini menemui kedamaian yang dicari, namun Adam kembali dihantui oleh igauan ngeri. Adam sering terbayang Nur Amina akan mati. Adam merasakan bahawa ada satu petanda buruk yang akan berlaku. Keimanan dan kesabaran akan teruji lagi. Adam dan Nur Amina mengalami satu kemalangan dahsyat. Didalam serpihan kemalangan itu, Adam mendapati Nur Amina terbaring kaku..

Info Nurkasih The Movie : 

Producer : Rosihan Zain ( Executive Producer )
Producer Company : Primeworks Studios Sdn Bhd ( GB Sdn. Bhd.)
Script : Kabir Bhatia ( Screenplay ), Mira Mustaffa ( Scriptwriter )
Barisan Pelakon : Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Ayu Raudhah, Liza Othman, Munif Isa, Sara Ali, Adik Mia Sara Nasuha, Adik Ilyas Suhaimi


***********************
Official Nurkasih The Movie Trailer


Nurkasih The Movie OST Teaser & Trailer 


***********************
Jom kita imbas balik sedikit sinopsis drama Nurkasih yang lepas... ^^v

Drama bersiri popular Nur Kasih pada tahun lalu disajikan penuh dengan cerita cinta antara Adam lakonan Remy Ishak dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) serta pengorbanan Aidil (Fizz Fairuz) kepada adiknya, Adam.Jika dalam drama bersiri, Aidil terpaksa mengorbankan cintanya kepada Nur Amina demi Adam tetapi pengorbanan Aidil tidak terhenti dalam drama yang disiarkan sebanyak 26 episod itu.Ini kerana dia masih lagi menerima pelbagai dugaan dan ranjau dalam menempuhi kehidupan menerusi sekuel terbaru Nur Kasih yang disambungkan dalam bentuk filem.Untuk filem berjudul Nur Kasih The Movie itu, Aidil menjalani kehidupannya sebagai seorang bapa tunggal kepada dua cahaya mata iaitu Ilyas, 7, dan Maryam, 5, setelah isterinya, Alia (Ayu Raudhah) yang meninggal dunia.

***********************
Sedutan Drama Nurkasih


Yassin - OST Nurkasih



Selamat Menonton !!! ^^v ~ 


 ------------------------------------------------------------------------------


Kurang mengusik jiwa
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2011/05/06

Nur Kasih The Movie temui penonton 19 Mei

KARYA sentuhan Mira Mustafa yang sering bergandingan dengan suaminya pengarah, Kabir Bhatia sering dinantikan peminat industri perfileman dan drama tempatan. Pendek kata, buah tangan daripada pasangan ini sudah menjadi jenama yang mendapat kepercayaan.
Kabir Bhatia

Mereka berada dalam industri sejak awal 2000 tetapi mula menjadi sebutan selepas kejayaan filem Cinta pada 2006. Selepas Cinta, pasangan ini sekali lagi mencuri perhatian dengan kemunculan drama bersiri Nur Kasih. Jalan cerita yang menyelitkan sedikit nilai keislaman dan kekeluargaan serta sentuhan sinematografi menarik, tanpa disangka menyebabkan drama bersiri itu menjadi sebuah fenomena.

Kejayaan drama Nur Kasih meraih perhatian jutaan penonton membuahkan idea melanjutkan konflik yang berlaku di dalam drama kepada filem. Perancangan itu amat menggembirakan peminat sehingga tidak sabar untuk menyerbu panggung. Tanggal 19 Mei nanti penantian mereka bakal berakhir.

Bagaimanapun bagi peminat Nur Kasih, jangan mengharapkan apa yang mereka lihat dalam drama dapat disaksikan di filem. Jika drama menyaksikan kehadiran ramai watak yang menghidupkan lagi Nur Kasih, namun dalam filem, watak yang mencetuskan warna serta konflik seperti Ummi Nazeera yang sebagai adik Nur dan Sharifah Sofia menjadi isteri pertama Adam ditiadakan dalam filem.

Tidak adil rasanya untuk melabelkan filem ini bagus atau sebaliknya kerana pada akhirnya terpulang kepada penerimaan penonton. Cita rasa setiap individu berbeza. Suka atau tidak ia adalah subjektif.

Apa yang boleh dikatakan selepas menonton filem ini, di awal kisah lagi hati penonton akan diusik dengan perasaan sayu. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang sudah bergelar ibu. Ceritanya dimulakan dengan Aidil lakonan Fizz Fairuz yang baru kehilangan isterinya lakonan Ayu Raudhah. Penderitaan yang ditanggung Aidil apabila terpaksa membesarkan dua anaknya secara bersendirian begitu mengusik jiwa.

Sayangnya, hati penonton belum benar-benar terusik, kisah lain pula dibangkitkan, Justeru mereka yang mahu menyaksikan filem ini perlu mempersiapkan minda untuk memahami perjalanan filem Nur Kasih kerana Kabir menggambarkannya dalam frasa yang pantas.

Ada ketikanya apa yang ditonjolkan menimbulkan kekeliruan. Mungkin kerana terlalu banyak yang mahu diceritakan bagi mengejar tempoh masa tayangan selama satu jam setengah dengan mewujudkan pelbagai plot menyebabkan filem itu hilang tumpuan.

Oleh kerana Nur Kasih The Movie bukan filem aksi, kepincangan CGI yang digunakan di dalam berapa babak begitu diberi perhatian oleh penonton. Hingga sedikit menjejaskan mood.

Bagaimanapun dari segi lakonan, setiap pelakon berjaya menghidupkan watak mereka, termasuk dua pelakon kanak-kanak Mohd Ilyas Suhaimi dan Mia Sara yang memberikan lakonan tidak mengecewakan.

Sukar cari titik penamat

MIRA yang ditemui berkata, dia sudah berusaha sedaya upaya menghasilkan sebuah karya terbaik buat peminat dan ia terpulang kepada penonton menilai filem itu setelah mereka menontonnya. Mengadapatasi drama kepada filem, jelasnya, bukan mudah dan kesukaran paling utama adalah untuk mencari titik penamat filem itu.

“Cabaran menghasilkan filem ini lebih kepada mencari bahagian penyudah. Nur Kasih mempunyai penyokong yang kuat. Mereka sangat setia sehingga ada yang mengugut mahu bakar panggung kalau Nur Aminah akhirnya bersama Aidil.

“Saya mengambil kira pandangan penonton hingga terpaksa berkali-kali merombak skrip. Namun apa yang mahu saya gambarkan dalam ini adalah kesinambungan daripada drama. Saya tumpukan kepada perkembangan watak dari drama ke filem dan cuba mengelak daripada memasukkan elemen imbas semula daripada drama kerana tidak mahu disamakan.

“Bagaimanapun, saya masih menggunakan acuan sama kerana tidak mahu peminat mempersoalkannya jika tiada kesinambungan. Saya sudah berusaha menghasilkan skrip sebaik mungkin, jadi terserah pada penonton untuk menilainya,” kata Mira.

Sementara itu, pengarahnya Kabir Bhatia yakin filem yang menelan belanja RM 2.8 juta dan bakal menjengah ke 70 panggung itu akan membuatkan penonton jatuh cinta.

“Kami yakin Nur Kasih The Movie filem hebat kerana berjaya menambat hati ramai orang menerusi sirinya. Bagaimanapun ia cabaran untuk Mira kerana harus menterjemahkan drama bersiri 26 episod dalam sebuah filem. Tugasnya itu memang berat hingga dua tiga kali terpaksa merombak skrip kerana tidak mahu drama episod dan filem dilihat terlalu mempunyai persamaan,” kata Kabir.

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...