Ahad, 10 April 2011

Zizan Tiada Masa Bercinta

DIA seorang pelawak tetapi jauh di sudut hati jejaka dari Dungun, Terengganu itu ada jiwa yang cukup sentimental. Karakter peribadinya jauh berbeza daripada Zizan Raja Lawak yang sering ditonton di pentas atau di skrin televisyen.

Dia baru sahaja merampas gelaran Artis Komedi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) yang sebelum ini milik Nabil Raja Lawak, selama dua tahun berturut-turut.

“Saya mahu pergi lebih jauh. Saya tidak akan selama-lamanya kekal sebagai pelawak atau pelakon.

“Saya melihat ke arah Afdlin Shauki serta nama-nama lain. Sasaran saya, saya mahu jadi penerbit dan pengarah filem pada suatu masa nanti,” jauh dan besar status yang dicita Zizan untuk masa depannya.

Persaingan

Sedar ungkapannya itu mungkin boleh menimbulkan persepsi kurang senang orang lain, dia menambah: “Ya, cita-cita saya memang besar sebab itu saya bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan saya. Saya mahu pastikan hasrat orang dan hasrat saya sendiri akan tercapai.”

Terhenti seketika sebelum menyambung dan menjelaskan maksud yang cuba disampaikan, nada suaranya seperti membayangkan ada sekelumit kecewa pernah bersimpuh di sudut perasaannya.

“Memang saya sudah menang Artis Komedi Paling Popular, tetapi sasaran semua artis ialah status Artis Paling Popular.

“Faktanya, untuk kemenangan tertinggi itu, seseorang itu bukan saja kena popular tetapi berbakat. Bila Sam (Shaheizy Sam) menang, saya gembira sebab dia memang layak.

“Sebenarnya saya tidak fikirkan anugerah itu untuk diri sendiri tetapi terfikirkan harapan pengundi, peminat dan keluarga yang koyakkan kertas surat khabar untuk undi saya.

“Kalau mereka hampa, saya juga hampa. Tetapi balasannya, saya kena usaha lagi dan berikan yang terbaik untuk mereka selepas ini,” tekad Zizan.

Menanyakan Zizan isu persaingan, soal kredibiliti dan aura di mata peminat, perkara itu secara tidak langsung ada terselit pada saat-saat akhir ketika kerja mengemudikan ABP di sisi Raja Azura dan Sharifah Shahirah pada kemuncak acara.

Dari awal hingga akhir cuba mengekalkan momentum namun, perhatian untuk Zizan beralih kepada Johan Raja Lawak dan Sy8 atau Usop Wilca.

Gimik saduran daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang menonjolkan kelibat Johan dan Sy8 benar-benar memberi impak dan hampir menenggelamkan aura Zizan di situ.

“Saya tidak pernah terfikir soal itu. Saya tak rasa begitu kerana faham itu adalah gimik yang dirancang untuk program berkenaan.

“Saya tidak terfikir soal tenggelam atau terkilan kerana program itu bukan program tentang saya,” katanya yang masih berpasangan dengan Johan untuk program realiti terbaru, Maharaja Lawak.

Wanita cantik

Menanti habuan karier yang lebih besar, pengacara baru Melodi bersama Dira Abu Zahar itu menghitung waktu untuk muncul di layar perak dengan beberapa judul filem seperti KL Gangster, Hantu Bonceng dan Jangan Pandang-Pandang.

Dari sudut yang lain, pelawak muda sering dikaitkan dengan wanita cantik. Selepas putus cinta dengan Leez, langkah Zizan untuk mendekati wanita jelita yang lain semakin galak.

Pernah digosipkan dengan pelakon Diana Amir, kini nama Juliana Evans menjadi bahan usikan buat Zizan.

Secara serius ataupun berjenaka, Zizan sendiri gemar menyebut nama si cantik berdarah campur itu untuk mengisi komedinya kepada umum.
Sama ada serius atau berlawak, alangkah manisnya jika benar mereka ada keintiman sebagai pasangan kekasih.

“Bagus juga saya ditanyakan dengan soalan itu. Kalaupun saya berangan menyebut nama wanita-wanita cantik dalam komedi saya, bagi saya itu antara mesej yang mahu saya sampaikan.

“Dalam komedi atau hiburan, tak semestinya kita bercakap tentang sesuatu yang realiti sahaja.

“Asalkan orang boleh gelak, saya gembira. Penonton kena tahu bezakan apa yang komedi dan apa yang serius,” katanya mempertahankan status solo tanpa teman wanita sehingga ke saat ini.

Mengakui seronok berteman dan sesekali keluar bersama rakan-rakan artis wanita, bagaimanapun belum ada yang boleh diisytiharkan ‘pengarang jantung.’

Bela kucing

“Saya hanyalah pelawak, bukan macam artis lain yang tampan dan bergaya. Jadi bila ada orang sudi keluar dan berkawan dengan saya, mestilah saya seronok.

“Bila saya keluar dengan perempuan cantik, ada orang bercakap. Tapi bila saya keluar dengan gadis yang biasa-biasa sahaja, tak ada pula orang nak digosipkan,” katanya berjenaka.

Menebak hatinya, tidakkah nanti ada si bunga yang berkecil hati kerana tidak diperakui sebagai sang pengarang jantung, dia tertawa kecil.

“Betul, belum ada yang istimewa. Lagipun otak saya tengah penat fikir pasal karier, tak terfikir untuk cari kekasih. Kalau ada yang datang untuk jadi kekasih pun, rasanya saya tiada masa untuk berdating.

“Rasanya saya masih belum sedia untuk ada komitmen, buat sakit otak sahaja. Lagipun sekarang adalah masa saya, banyak benda yang harus saya fikirkan.

“Kalau saya penyanyi senang ada satu single boleh buat persembahan untuk setahun, tapi pelawak selalu perlukan idea baru,” ungkapnya.

Bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-27 pada 15 April ini, Zizan percaya akan ada jodoh yang ditentukan untuknya.

Bagaimanapun akui Zizan, jadual kerja yang memenatkan mendesaknya untuk mencari teman hidup mengisi kesunyian.

“Sebenarnya saya hidup sunyi sebab itulah sekarang saya bela seekor kucing untuk dijadikan teman berbual.

“Itu pun selepas mendapat izin ibu saya. Dia sebenarnya risau saya tidak mampu membela kucing dengan baik sebab sibuk dan selalu tiada di rumah.

“Saya namakan kucing itu Grey-C sebab ia berwarna kelabu,” tutup Zizan membuka rahsia dia sudah ada teman serumah.

Sumber : kosmo

Kata Admin : Saksikan Zizan & Johan dalam Maharaja Lawak di Astro Warna :)

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...