Jumaat, 22 April 2011

Gila Cinta Jiwa Sengsara

Love Graphic
Seseorang yang sanggup melakukan apa sahaja demi cinta disebut Cinta Mania iaitu cinta gila. Golongan jenis ini sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hati sendiri.

Perkara ini diakui oleh Pensyarah Kaunseling keluarga dan Perkahwinan, Fakulti kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani.

Dalam situasi tersebut, seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja terhadap diri dan pasangannya jika kehendak hati tidak diikuti.

Tindakan ganas yang dilakukan itu kerana desakan diri serta ketidakpuasan hati terhadap sesuatu yang diidamkan, malah tindakan tersebut berlaku dalam keadaan yang separa sedar sehingga mendorong kepada perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri.

Terang beliau lagi, tindakan itu juga ada kaitan dengan personaliti seseorang.

''Biasanya seseorang yang bersikap demikian dipanggil impulsif di mana mereka sanggup melakukan apa sahaja yang terlintas di hati tanpa berfikir panjang.

''Keadaan ini biasanya akan 'memakan diri sendiri' kerana terlalu mengikut kehendak hawa nafsu tanpa memikirkan kesan dan akibat,'' ujarnya.

Tegas beliau, kerana cinta pelbagai musibah timbul termasuk pembuangan bayi, anak luar nikah, seks bebas, dan sebagainya, malah kerana terlalu sayangkan seseorang juga mereka sanggup bertingkah laku ganas semata-mata kerana kemahuan yang diingini tidak dituruti.
Love Cry
''Permasalahan ini sering kali dikaitkan dengan cinta remaja. Remaja hari ini adalah remaja yang berfikiran kurang matang dan kurang cerdas, mereka hanya mengikuti hati semata-mata tanpa memikirkan kesan dan akibat,'' ujarnya tegas.

Keadaan ini juga ada berkait rapat dengan nilai keagamaan seseorang.

Beliau percaya, kekuatan iman mampu menguatkan diri seseorang daripada terus melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Dengan iman juga, seseorang itu akan sentiasa dalam kawalan Allah, menyebabkan segala tindak-tanduknya mempunyai sempadan yang tidak boleh dilangkaui.

"Tabiat manusia apabila dia hendak melakukan sesuatu dia akan berusaha seberapa boleh untuk melaksanakan hasratnya.

"Dia boleh mengawal dirinya ketika diperhatikan, dikurung dan sebagainya.

"Walaupun demikian apabila terlepas daripada kawalan, kerana lalai, ia akan bertindak lebih cepat daripada orang yang mengawal tadi," katanya.

Ketika ditanya mengenai faktor yang mendorong seseorang sehingga sanggup bertindak ganas, Dr. Saedah menjelaskan ia ada kaitan dengan faktor persekitaran.

''Sebenarnya faktor persekitaran yang mendorong dirinya untuk melakukan tindakan tersebut,'' ujarnya.

Bagaimanapun, faktor genetik juga menyumbang kepada penyebab yang mendorong untuk seseorang melakukan sesuatu tindakan yang kurang bermoral itu.

''Sering didedahkan dengan aktiviti keganasan adalah menyebabkan seseorang itu terdedah dengan keganasan.

''Oleh itu, mereka aplikasikan apa yang dilihat itu yang dianggapkan role model walaupun tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang baik untuk dicontohi,'' ujarnya tenang.

Oleh ZUHAYATI YAZID

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...