Sabtu, 30 April 2011

Gigitan Hangat : Siti Sarah Hamil

Gembira
SUDAH lumrah bagi setiap pasangan yang berumah tangga, pastinya yang paling dinantikan adalah untuk memiliki cahaya mata. Malah, ada yang terpaksa menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum dikurniakan anak.

Bagaimanapun, Shahmira Mohamed atau Shuib dan Siti Sarah Raisuddin pastinya antara pasangan suami isteri yang sangat beruntung. Biarpun usia perkahwinan mereka baru dua bulan, tetapi dikhabarkan Siti Sarah sudah pun disahkan mengandung.

“Alhamdulillah, memang kini saya telah mengandung dan usia kandungan saya pula hampir mencecah usia dua bulan. Tentunya ini adalah saat yang sangat dinantikan.

“Lagipun saya dan Shuib tidak pernah merancang sama ada mahu ada anak cepat atau lambat. Kami sendiri tidak kisah kalau dikurniakan anak terlalu awal,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media filem Man Sewel Datang KL yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di Hulu Klang, Selangor Selasa lepas.

Menurut Siti Sarah, dia sendiri tidak sedar dirinya sudah berbadan dua sehinggalah dia mengalami keletihan dan muntah-muntah ketika menjalani penggambaran filem tersebut baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pada hari terakhir penggambaran filem berkenaan, dia telah meminta Shuib membawanya ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.

“Pada mulanya saya ingatkan perut saya masuk angin, tetapi setelah menjalani pemeriksaan, kami berdua mendapat berita yang sangat gembira apabila saya telah disahkan mengandung,” ungkapnya.

Ketika ditanya apakah makanan yang paling dia mengidam setelah mengandung, Siti Sarah memberitahu ketika ini dia sangat gemar memakan buah oren.

Jelasnya, sebelum ini dia bukanlah penggemar utama buah tersebut, namun semenjak mengandung dia perlu memakan buah oren atau minum jus oren pada setiap pagi.

“Saya sangat bersyukur kerana layanan suami terhadap saya juga bertambah baik. Bukannya sebelum ini tidak baik, tetapi kini dia memang benar-benar menjaga dan mengambil berat terhadap diri saya.

“Malah, sekarang ini pun kalau tak ada sebarang undangan nyanyian, saya akan ikut dia pergi jalani penggambaran atau pun latihan Maharaja Lawak kerana dia risau untuk tinggalkan saya keseorangan di rumah,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tentang tarikh kelahiran pula, doktor menjangkakan dia akan melahirkan anak pada bulan Disember ini.

Sementara itu, Shuib yang setia berada di sisi isterinya sepanjang sesi temu bual berlangsung memberitahu, dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya setelah isteri yang tercinta disahkan telah mengandung ketika ini.

“Semasa dalam perjalanan menghantar isteri saya ke klinik, sebenarnya saya dapat rasa yang isteri saya ini sudah berbadan dua. Cuma saya tidak mahu beritahu dia kerana tidak mahu terlampau berharap sangat.

“Kemudian, setelah telah doktor mengesahkan yang isteri saya memang mengandung, sayalah orang yang paling gembira sekali. Depan doktor juga saya menangis dan peluk isteri saya,” ujarnya.

Cita-Cita Tinggi
Tentang jumlah anak yang mereka inginkan pula, Shuib menjelaskan dia berharap sekurang-kurangnya dianugerahkan dengan empat orang anak.

Menyanyi dan berlakon

Meskipun sudah berumah tangga dan kini disahkan sudah berbadan dua, namun ia langsung tidak menghalang Siti Sarah untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.

Ujarnya, ketika ini dia kerap mendapat undangan untuk membuat persembahan makan malam dan baru sahaja selesai membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha di Menara Kuala Lumpur.

“Tidak dinafikan selepas berumah tangga ni memang rezeki semakin bertambah dan baru-baru ini kami digandingkan pula bersama dalam sebuah filem. Tentang pembikinan album baru, memang sudah ada perancangan ke arah itu, namun buat masa ini saya akan keluarkan single terlebih dahulu,” jelasnya.

Mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan pula, setakat ini saya tidak berdepan dengan sebarang masalah besar. Biarpun berlakon, karier dalam bidang nyanyian akan tetap diteruskan.

“Ramai yang sudah tahu ayah saya adalah seorang pelakon, malah boleh dikatakan saya membesar dalam dunia lakonan kerana sering ikut ayah kalau dia ada penggambaran.

“Jadi, minat untuk berlakon memang sudah ada sejak dari dulu lagi. Kemudian apabila sudah mula menceburinya, saya rasa jadi makin seronok pula,” ujarnya.

Stephen Chow

Umum mengetahui, ketika ini Shuib bersama kumpulannya iaitu Sepah sedang bersaing sengit dalam program Maharaja Lawak yang sudah pun masuk minggu kelima.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga turut dikenali ramai menerusi drama bersiri Bujang Sepah Lalalitamplom yang ke udara di saluran Astro Prima sebelum ini.

Biarpun kini namanya dikenali ramai sebagai seorang pelawak, tetapi anak kelahiran Johor itu juga sebenarnya mempunyai impian yang tersendiri.

“Sebenarnya saya sangat berminat untuk menjadi seorang pengarah dan sudah tentu pilihan filem atau drama arahan saya nanti adalah yang bergenre komedi.

“Salah seorang pengarah yang paling saya minati adalah Stephen Chow yang juga seorang pelakon. Dia memang jadi idola saya kerana filem lakonan dan arahannya sangat mengagumkan saya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Shuib menjelaskan impian tersebut mungkin akan dapat dilaksanakan apabila dia benar-benar sudah lama berada dalam bidang lakonan.

“Buat masa ini saya dikira masih lagi baru dan banyak lagi benda yang saya harus pelajari terutamanya tentang selok-belok dunia perfileman sebelum menceburi bidang pengarahan pula,” ujarnya.

Sumber : kosmo

0 bisikan:

Catat Ulasan

Buka Cbox
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Video Terbaru AwaNiBiRu

Video AwaNiBiRu Yang Lain?

Loading...